Pages

Friday, 9 November 2012

REMAJA DAN SIKAP POSITIF

Menjadi remaja memberi peluang untuk kita belajar tentang hidup. Remaja belum sampai ke tahap matang dan dewasa. Justeru bersikap positif terhadap apa yang berlaku dalam kehidupan memberi pedoman kepada remaja supaya dapat membezakan jalan yang benar dan salah.
Remaja sememangnya memiliki rasa ingin tahu yang tinggi dan proses ingin tahu itu perlu disuburkan dengan sikap positif. Pemikiran positif bermaksud tidak timbul sangka buruk atau prasangka terhadap sesuatu yang berlaku. Pemikiran positif adalah pemikiran yang menjurus ke arah keupayaan dan bukannya ketidakupayaan. Pada asasnya, ia melihat pada aspek yang baik dan membina.
Contohnya, ada orang berpendapat bahawa barat itu buruk dan Timur itu baik. Sikap positif remaja mestilah dalam andaian tidak semua dari barat itu buruk dan yang datang dari timur semua baik.
Banyak kemajuan, ilmu pengetahuan teknologi dan sains berlaku di barat bermanfaat untuk manusia. Banyak juga keburukan tingkah laku orang timur yang tidak patut dicontohi manusia. Oleh itu bersikap positif terhadap perkara yang baik dan buruk baik dari timur atau barat seharusnya menjadi landasan dan pegangan remaja.
Remaja adalah golongan yang suka berhibur. Akibat tidak faham akan makna hiburan menyebabkan mereka selalu terjebak dengan hiburan yang merosakkan. Sedangkan hiburan yang positif tidak dilarang oleh agama.
Dalam berhibur, pertimbangan baik buruk haruslah diambil kira. Jika tidak syaitan dan iblis akan campur tangan. Apabila remaja mempunyai pertimbangan dan pedoman, ia tahu memilih, tahu akibatnya dan tahu dosa pahala.
Contohnya, remaja amat suka kepada lagu dan muzik. Pedoman dalam Islam adalah dengarlah lagu dan muzik yang mempunyai tujuan atau risalah. Maksudnya, hiburan dalam pengertian lirik dan kata-kata yang dilagukan membawa makna ke arah keinsafan dan kebaikan. Iringan muziknya tidak merangsang nafsu-nafsi dan memberi rasa keindahan yang tinggi dan mendekatkan diri kepada Allah.
Melalui pemikiran yang positif, kita akan berasa seronok kerana di samping terhibur kita tidak hilang kawalan diri, malah dengan terhibur meningkatkan kesedaran kita tentang kebaikan dan arah tujuan dalam hidup.Di tahap remaja ingin tahu dan cuba memahami, remaja sebenarnya ingin memahami makna akan sesuatu. Memahami makna bererti mengetahui hakikat kejadian peristiwa dan juga sesuatu pegangan.
         Ada remaja yang faham akan sesuatu tetapi tidak bertemu makna akan sesuatu. Contohnya remaja tahu akan pentingnya akan pergaulan yang terkawal antara lelaki dan perempuan tetapi disebabkan kefahaman yang tidak mendalam terhadap batas larangan itu dan hukum syarak menyebabkan remaja sering melanggar hukum hakam.
         Oleh itu, pemikiran positif sewajarnya menjadikan kita lebih aktif dan proaktif. Sesuatu maklumat yang kita terima berkemungkinan boleh mendatangkan manfaat dan juga mudarat. Dengan sikap positif yang ada kepada kita seharusnya menjadikan kita orang yang suka mengambil tahu, membuat penyelidikan dan membuat keputusan sama ada menerima atau menolak.
          Pemikiran positif bukan bermaksud kita menerima semua maklumat atau membuat pelbagai andaian untuk mempositifkan sesuatu keadaan yang nampak negatif tanpa terlebih dahulu membuat penyelidikan dan analisis.
         

No comments:

Post a Comment