Pages

Friday, 9 November 2012

Masalah Remaja Lari dari Rumah



Sejak belakangan ini, masalah remaja lari dari rumah semakin gawat. Setiap hari kita membuka lembaran surat khabar mesti terdapat berita tentang remaja lari dari rumah.

Fenomena ini sangat dirisaukan oleh seluruh masyarakat kerana remaja merupakan tiang dan harapan negara kita. Jikalau negara kita mempunyai remaja begini maka masa depan negara akan terjejas.

Punca utama yang menyebabkan remaja lari dari rumah adalah kurang perhatian daripada ibu bapa. Ibu bapa merupakan orang yang paling rapat dengan remaja. Apabila mereka menghadapi masalah yang tidak dapat diatasi maka mereka akan meluahkan masalah tersebut dengan ibu bapanya untuk mencari jalan penyelesaian. Remaja yang berasa diri mereka tersisih akan mencari hiburan dan ketenangan di luar rumah sehingga mereka enggan balik ke rumah yang tidak mempunyai kasih sayang.





Selain itu, pengaruh rakan. Pemikiran remaja belum matang menyebabkan mereka tidak dapat membezakan kebaikan dan keburukan sesuatu perkara. Oleh itu, mereka akan meletakkan kepercayaan yang sepenuhnya kepada rakan. Rakan yang buruk akan mengajar mereka lari dari rumah untuk mencari keseronokan di luar untuk melepaskan ketidak puasan mereka.

Kekurangan pendidikan agama dan moral juga menyebabkan remaja lari dari rumah. Seseorang yang tidak mempunyai pendidikan agama dan moral yang kukuh maka ia tidak akan berfikir rasional semasa membuat sesuatu keputusan. Mereka akan sentiasa menganggap masyarakat ini tidak adil terhadap mereka sehingga mereka tidak dapat membezakan perkara yang baik atau buruk
      
     Selain itu, pengaruh media massa juga perlu bertanggungjawab dalam masalah remaja lari dari rumah. Kini, kebanyakan media massa yang tanpa sempadan telah menyebabkan wayang-wayang dan drama-drama barat memasuki pasaran tempatan kita. Watak dalam drama dan wayang barat selalu memupuk kebebasan diri sendiri. Keadaan ini telah menyebabkan remaja kita dipengaruhi oleh tindak-tanduk mereka.

Kesimpulannya, masalah remaja lari dari rumah akan membawa kesan sampingan kepada masyarakat dan negara kita. Oleh itu, semua pihak yang berkaitan dan berkuasa perlu bekerjasama untuk menangani masalah ini agar masa depan negara kita dapat terjamin dan mempunyai imej yang baik dalam sudut pandangan antarabangsa. Seterusnya, negara kita akan menjadi sebuah negara yang kuat dan maju kerana mempunyai tiang negara yang berbakat.

Renung-renungkan!!!




REMAJA DAN SIKAP POSITIF

Menjadi remaja memberi peluang untuk kita belajar tentang hidup. Remaja belum sampai ke tahap matang dan dewasa. Justeru bersikap positif terhadap apa yang berlaku dalam kehidupan memberi pedoman kepada remaja supaya dapat membezakan jalan yang benar dan salah.
Remaja sememangnya memiliki rasa ingin tahu yang tinggi dan proses ingin tahu itu perlu disuburkan dengan sikap positif. Pemikiran positif bermaksud tidak timbul sangka buruk atau prasangka terhadap sesuatu yang berlaku. Pemikiran positif adalah pemikiran yang menjurus ke arah keupayaan dan bukannya ketidakupayaan. Pada asasnya, ia melihat pada aspek yang baik dan membina.
Contohnya, ada orang berpendapat bahawa barat itu buruk dan Timur itu baik. Sikap positif remaja mestilah dalam andaian tidak semua dari barat itu buruk dan yang datang dari timur semua baik.
Banyak kemajuan, ilmu pengetahuan teknologi dan sains berlaku di barat bermanfaat untuk manusia. Banyak juga keburukan tingkah laku orang timur yang tidak patut dicontohi manusia. Oleh itu bersikap positif terhadap perkara yang baik dan buruk baik dari timur atau barat seharusnya menjadi landasan dan pegangan remaja.
Remaja adalah golongan yang suka berhibur. Akibat tidak faham akan makna hiburan menyebabkan mereka selalu terjebak dengan hiburan yang merosakkan. Sedangkan hiburan yang positif tidak dilarang oleh agama.
Dalam berhibur, pertimbangan baik buruk haruslah diambil kira. Jika tidak syaitan dan iblis akan campur tangan. Apabila remaja mempunyai pertimbangan dan pedoman, ia tahu memilih, tahu akibatnya dan tahu dosa pahala.
Contohnya, remaja amat suka kepada lagu dan muzik. Pedoman dalam Islam adalah dengarlah lagu dan muzik yang mempunyai tujuan atau risalah. Maksudnya, hiburan dalam pengertian lirik dan kata-kata yang dilagukan membawa makna ke arah keinsafan dan kebaikan. Iringan muziknya tidak merangsang nafsu-nafsi dan memberi rasa keindahan yang tinggi dan mendekatkan diri kepada Allah.
Melalui pemikiran yang positif, kita akan berasa seronok kerana di samping terhibur kita tidak hilang kawalan diri, malah dengan terhibur meningkatkan kesedaran kita tentang kebaikan dan arah tujuan dalam hidup.Di tahap remaja ingin tahu dan cuba memahami, remaja sebenarnya ingin memahami makna akan sesuatu. Memahami makna bererti mengetahui hakikat kejadian peristiwa dan juga sesuatu pegangan.
         Ada remaja yang faham akan sesuatu tetapi tidak bertemu makna akan sesuatu. Contohnya remaja tahu akan pentingnya akan pergaulan yang terkawal antara lelaki dan perempuan tetapi disebabkan kefahaman yang tidak mendalam terhadap batas larangan itu dan hukum syarak menyebabkan remaja sering melanggar hukum hakam.
         Oleh itu, pemikiran positif sewajarnya menjadikan kita lebih aktif dan proaktif. Sesuatu maklumat yang kita terima berkemungkinan boleh mendatangkan manfaat dan juga mudarat. Dengan sikap positif yang ada kepada kita seharusnya menjadikan kita orang yang suka mengambil tahu, membuat penyelidikan dan membuat keputusan sama ada menerima atau menolak.
          Pemikiran positif bukan bermaksud kita menerima semua maklumat atau membuat pelbagai andaian untuk mempositifkan sesuatu keadaan yang nampak negatif tanpa terlebih dahulu membuat penyelidikan dan analisis.