Dewasa kini, negara kita bukan saja di banjiri oleh kes pembuangan bayi yang tidak berdosa seperti sampah, tetapi dalam diam juga kes anak membuang ibu bapa sendiri dengan meninggalkan ibu bapa mereka dalam keadaan tidak terjaga atau terbiar hidup sengsara tanpa pembelaan anak-anak semakin menular dan membudaya dalam masyarakat hari ini samada disedari atau pun tidak.
Malah, ada sehingga ke tahap yang sanggup mencederakan ibu bapa mereka atau sanggup membunuh ibu bapa mereka kerana tidak mendapat apa yang dikehendaki dari ibu bapa mereka seperti wang, geran tanah atau geran kenderaan.
Seolah-olah anak-anak pada masa kini sudah hilang rasa hormat, taat setia atau dalam bahasa mudahnya berakhlak mulia dan berbelas ehsan terhadap ibu bapa mereka sendiri.
Baru-baru ini kita digemparkan dengan kisah anak-anak derhaka yang sanggup membuang bapa mereka yang telah dimamah usia sehingga terpaksa merempat meminta belas ihsan orang lain. Seorang bapa yang menghidap penyakit buah pinggang yang kronik dianggap sebagai beban bagi anak-anak kerana perlu menghantar bapa mereka ke pusat hemodialisis, lalu ditinggalkan bapanya yang sedang sakit itu di pusat tersebut. Maka, tercampaklah kedua-dua bapa yang suatu ketika dulu telah bertungkus-lumus membanting tulang untuk membesarkan anak-anak mereka di rumah orang-orang tua Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Apa yang lebih mendukacitakan sifat tidak berperikemanusiaan ini timbul dari kalangan mereka yang mengaku sebagai orang Islam, sedangkan Islam telah mencela dengan keras perbuatan seumpama ini. Nabi Muhammad S.A.W. pernah bertanya kepada para sahabat sebanyak tiga kali " Mahukah aku memberitahu kalian tentang dosa yang paling besar?" Maka, mereka (para sahabat ) pun menjawab "Sudah tentu wahai Rasulullah." Baginda menjelaskan "Syirik kepada Allah, derhaka kepada ibu bapa dan sumpah yang palsu." Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam sahihnya, no : 2654.
Lihatlah, bagaimana dosa menderhaka kepada ibu bapa ini diletakkan di dalam satu kategori bersama dosa mensyirikkan Allah S.W.T. iaitu dosa yang paling keji di atas muka bumi ini. Justeru itu, Islam telah mengajar penganutnya agar sentiasa berusaha untuk menggembirakan ibu bapa lebih-lebih lagi yang telah lanjut usianya dengan apa jua cara sekalipun selagimana ianya tidak bercanggah dengan syarak.
Memandangkan kes anak-anak membuang ibu bapa ini semakin meruncing dalam masyarakat kini, walaupun tidak terlalu kritikal, perkara ini harus dibendung lebih awal dengan melaksanakan akta ini sebagai langkah utama supaya masalah ini tidak membudaya dalam masyarakat kini dan seterusnya.
Menjaga ibu bapa yang sudah tua memang bukan satu urusan yang mudah. Kebiasaannya tubuh yang telah dimamah usia itu menyebabkan pergerakan mereka terbatas bahkan adakalanya memerlukan bantuan daripada anak-anak untuk bergerak. Jiwa mereka juga semakin sensitif, kuat terasa hati bahkan agak cerewet dalam pelbagai perkara.
Ada juga yang telah lemah daya ingatannya menyebabkan perbualan dengan mereka adakalanya boleh menyebabkan seseorang anak itu hilang sabar. Namun, kesukaran dalam menjaga ibu bapa ini tidak datang dengan sia-sia. Bagi mereka yang sabar dengan kerenah ibu bapa mereka dan tetap menjaga mereka dengan baik dalam apa jua keadaan sekalipun maka mereka sebenar telah menempah tiket untuk ke syurga.
Binatang pun sayang mak ayah
renung-renungkan!!!
No comments:
Post a Comment